Kuala Lumpur: Di sebalik kerjaya pegawai psikologi dan kaunseling di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendengar dan membimbing individu berdepan masalah, ada air mata, tekanan perasaan malah keselamatan diri terpaksa dikorbankan mereka demi memastikan klien dilindungi berjaya dipulihkan.

Berdasarkan statistik tahun 2025, sebanyak 4,626 kes bagi perkhidmatan psikologi dan kaunseling direkodkan di institusi itu merangkumi kaunseling individu (1,771 kes), kelompok (1,164), keluarga (23), intervensi krisis (12), bimbingan (1,653) serta Tele/E-kaunseling (3).

Kaunseling individu membantu klien memahami diri dan menangani masalah atau tekanan emosi, manakala kaunseling kelompok membabitkan beberapa klien yang berkongsi isu hampir sama untuk mendapatkan bimbingan daripada kaunselor terlatih.