Kuala Lumpur: Bekas Olimpian negara, Nazmizan Mohammad berpandangan prestasi olahraga Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 perlu dinilai secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada pencapaian atlet di atas trek.

Menurutnya, prestasi dalam sukan berprestasi tinggi bukan bergantung kepada bakat atlet semata-mata, sebaliknya hasil gabungan pelbagai faktor termasuk kualiti kejurulatihan, perancangan latihan, sains sukan, pemulihan serta kecekapan pengurusan.

Beliau yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 dan memenangi dua pingat emas acara 100 dan 200 meter (m) pada Sukan SEA 2003 berkata, apabila prestasi tidak mencapai sasaran, persoalan perlu dibangkitkan bukan sekadar mengapa atlet gagal, tetapi sejauh mana sistem yang menguruskan mereka berfungsi dengan berkesan.