SEPANG: Bagi menghilangkan tekanan sebelum bermulanya Grand Prix (GP) Malaysia, pelumba negara, Helmi Azman membawa bintang MotoGP Jepun, Ai Ogura memancing di sebuah kolam sebelum aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu ini.

Menerusi perkongsian di akaun media sosial Helmi semalam, turut menyertai mereka adalah rakan senegara Ogura yang juga pelumba Moto3, Ryusei Yamanaka.

Aksi santai berkenaan menjadi peluang buat Helmi meluangkan masa bersama dua pelumba Jepun itu yang bukan asing buatnya selepas mereka pernah beraksi bersama dalam saingan Asia Talent Cup (ATC) pada 2015.

Ogura yang kini beraksi bersama pasukan Trackhouse MotoGP, turut kelihatan begitu teliti membuat persediaan sebelum memulakan aktiviti memancing, termasuk menyiapkan peralatan bagi memburu hasil tangkapan.