KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 dokumen membabitkan kes bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd, sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Dalam kes berkenaan, tertuduh, Mohd Zaid Abdul Jalil, 55, didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC berhubung penilaian harga pasaran 24 bidang tanah milik agensi itu.

Pada prosiding sebutan kes itu hari ini di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi memaklumkan 10 dokumen berkaitan kes sudah diserahkan kepada pembelaan dan memohon tarikh lain bagi penyerahan bakinya.

Peguam Datuk Yaacob Md Sam yang mewakili Mohd Zaid mengesahkan perkara itu dan Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula.