Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berkata projek Sambungan Kabel Dasar Laut Madani akan meningkatkan kapasiti serta daya tahan rangkaian komunikasi negara.PETALING JAYA: Lonjakan penggunaan internet, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan meningkatkan keperluan terhadap kapasiti pemindahan data, sekali gus mendorong pembangunan Sambungan Kabel Dasar Laut Madani (Salam) bernilai RM2 bilion.

Projek itu dijangka bermula suku pertama 2027 dan siap pada suku keempat 2029, menurut perancangan disenaraikan Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2026.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, projek strategik nasional bawah rangka kerja Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (USP) itu akan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian komunikasi negara, selain memastikan perkhidmatan digital lebih stabil, selamat dan boleh dipercayai.