Mexico City: Prinsipal pasukan Haas, Ayao Komatsu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tuntutan gaji tinggi daripada kem Oliver Bearman menjadi punca rundingan lanjutan kontrak pelumba Britain itu masih belum dimuktamadkan.

Sebaliknya, Komatsu menyelar pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan dengan menuduh mereka sengaja mereka-reka cerita semata-mata untuk meraih perhatian pembaca.

Masa depan Bearman bersama Haas menjadi perhatian selepas pasukan Formula Satu (F1) itu mengesahkan pelumba Brazil, Rafael Camara akan menggantikan Esteban Ocon bagi musim 2027, namun masih belum mengumumkan kontrak baharu buat pelumba berusia 21 tahun itu yang bakal tamat pada penghujung musim ini.

Beberapa laporan mendakwa Bearman menuntut gaji tahunan sebanyak €6 juta (RM30.2 juta), namun Komatsu berang apabila angka berkenaan diajukan kepadanya.