Istanbul: Gabungan pimpinan Arab Saudi di Yaman mengumumkan pada Jumaat, pihaknya memintas dan memusnahkan dron yang dilancarkan kumpulan Houthi di kawasan Madinah di barat Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap gabungan Mejar Jeneral Turki al-Maliki dalam kenyataan berkata, pertahanan udaranya telah memintas dan memusnahkan dron Houthi di kawasan itu.

Insiden berkenaan menandakan serangan Houthi keempat yang dilaporkan menyasarkan Arab Saudi pada Jumaat.

Kerajaan Yaman mengecam serangan Houthi yang diperbaharui ke atas Istana Presiden Maashiq di Aden untuk kali kedua dan Lapangan Terbang Antarabangsa Aden untuk kali ketujuh, serta dakwaan percubaan untuk menyasarkan Makkah, menggelarnya sebagai peningkatan berbahaya yang mengancam keselamatan serantau dan mengabaikan kesucian tapak suci Islam.