RIYADH – Cristiano Ronaldo semakin hampir merealisasikan impian memburu 1,000 gol sepanjang karier profesional selepas meledak hatrik ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al-Kholood 5-3 dalam aksi Liga Pro Saudi, awal pagi semalam.

Penyerang berusia 41 tahun itu hanya memerlukan 15 jaringan lagi untuk mencapai angka keramat berkenaan selepas menambah tiga gol menerusi ledakan dalam tempoh 15 minit pada aksi tersebut.

Ketika kedudukan terikat 2-2, Ronaldo mencuri tumpuan apabila meledak tiga gol pantas pada minit ke-66, 72 dan 81 untuk memastikan Al-Nassr membawa pulang kemenangan.

Kejayaan itu menyaksikan koleksi jaringan sepanjang kariernya kini meningkat kepada 985 gol, sekali gus menjadikan misi mencipta sejarah dengan mencapai 1,000 gol semakin hampir menjadi kenyataan.