Kuala Lumpur: Taktik licik pemilik sebuah premis pembeli kelapa sawit yang menggunakan alat kawalan jauh bagi 'mencuri' berat timbangan sawit tumpas dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu di Perak, baru-baru ini.

​Kegiatan haram itu terbongkar menerusi satu pendedahan video pemantauan dan serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dimuat naik di TikTok rasmi kementerian.

Menerusi rakaman video berkenaan, pasukan penguat kuasa kelihatan menjalankan pemeriksaan khas membabitkan alat timbang serta alat kawal timbang kenderaan di premis berkenaan.

​Penguat kuasa menemui alat kawalan jauh bagi memanipulasi jumlah timbangan sebaik lori membawa buah kelapa sawit menaiki plat penimbang (weighbridge).