Valencia: Atletico Madrid merampas kedudukan teratas La Liga secara sementara selepas menewaskan Levante 2-0 di laman lawan, awal pagi tadi, sekali gus meneruskan rentak kemenangan dalam saingan liga.
Kemenangan ketujuh berturut-turut itu membolehkan anak buah Diego Simeone mengumpul kelebihan satu mata berbanding Barcelona yang dijadualkan melayan kunjungan Alaves, lewat malam ini.
Atletico mengambil kesempatan daripada kekalahan pertama Barcelona dalam saingan liga ketika menentang seteru tradisi, Real Madrid, minggu lalu untuk memberi tekanan kepada juara bertahan itu.
Perlawanan dimulakan dengan bertafakur selama seminit bagi memperingati 69 mangsa nahas kereta api di wilayah Toledo yang menggemparkan Sepanyol minggu ini.









