SINGAPURA: Sedekad selepas diperkenalkan, Projek Wolbachia, satu daya usaha untuk mengawal denggi dengan melepaskan nyamuk yang dibiakkan di makmal, kini meliputi lebih separuh daripada semua isi rumah di Singapura.
Selepas pelancaran di Ang Mo Kio pada 6 Oktober, Projek Wolbachia kini meliputi lebih 840,000 isi rumah, atau 53 peratus daripada semua isi rumah di sini, merangkumi kebanyakan kawasan yang berisiko mengalami wabak besar denggi.
Ia diumumkan pada 31 Oktober oleh Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, pada satu acara memperingati ulang tahun ke-10 inisiatif itu, yang diadakan di Our Tampines Hub (OTH).
Bermula pada 2016, Projek Wolbachia bertujuan mengawal bilangan nyamuk Aedes di sini menerusi pelepasan nyamuk jantan yang dijangkiti bakteria Wolbachia.








