Tangkap layar video tular di media sosial tunjuk 2 individu bertengkar di sebuah pusat beli-belah di KL, dipercayai susulan insiden 2 kanak-kanak dikasari.PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat tindakan seorang wanita yang didakwa menolak seorang budak lelaki sehingga terjatuh, selain memukul kepala adik perempuannya di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Ketua Polis Dang Wangi Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 35 saat, yang tular di media sosial, memaparkan pertengkaran antara dua individu di premis berkenaan dipercayai susulan insiden itu.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada bapa kedua-dua kanak-kanak itu pada 7.39 malam.
Katanya, pengadu melaporkan kejadian berlaku kira-kira 3 petang ketika beliau sedang berjalan bersama dua anaknya yang berusia dua dan tujuh tahun.






