KUALA LUMPUR: Cadangan mengkaji semula gaji dan imbuhan doktor kanan bagi menangani masalah kekosongan 750 jawatan di Sabah dan Sarawak diberi pertimbangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kebajikan petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian beliau.

“Isu kebajikan kakitangan KKM sememangnya sentiasa menjadi perhatian saya. Saya sentiasa memberikan perhatian kepada perkara yang berkaitan dengan kebajikan petugas kesihatan di bawah kementerian.

“Sehubungan itu, saya berpandangan bahawa cadangan dan permohonan yang dikemukakan berhubung perkara tersebut wajar diberikan pertimbangan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.