am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pasangan kekasih ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dalam rumah di Plentong, di sini, awal pagi tadi, ketika ibu dan nenek wanita berkenaan sedang tidur.

JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan kira-kira jam 3.15 pagi itu dilakukan sepasukan penguat kuasa selepas menerima aduan awam berhubung kegiatan pasangan berkenaan.

"Pemeriksaan di rumah kampung berkembar mendapati pintu utama rumah tidak berkunci, manakala pintu gril juga didapati tidak berkunci sebelum penguat kuasa memasuki rumah untuk menjalankan pemeriksaan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan di ruang tamu rumah itu kemudiannya menemukan dua wanita berusia 50-an dan 70-an yang juga ibu dan nenek wanita itu sedang tidur.