sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Jangan takut, jangan gentar" menjadi amanat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan kepada Malayan Tigress B-17 ketika skuad muda negara membuka misi memburu tiket ke Pusingan Akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 menentang Syria, malam ini.
Turun di laman sendiri di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad kendalian Takayoshi Ishihara itu diminta tampil berani dan yakin dengan kemampuan sendiri bagi memburu tiga mata berharga dalam aksi Kumpulan E yang dijadualkan bermula jam 9 malam.
"Jangan takut, jangan gentar. Anda semua adalah antara yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Jadi, buktikan kemampuan anda dan tunjukkan bahawa kita mampu berjaya," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan barisan pemain dan kejurulatihan di hotel penginapan pasukan, semalam.









