MELAKA - Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Abdul Rashid Abu Bakar membuat laporan polis selepas bendera parti di kawasannya menjadi sasaran vandalisme apabila didakwa dibakar secara sengaja dipercayai oleh pihak tidak bertanggungjawab.Abdul Rashid berkata, kejadian itu disedari petugas pilihan raya parti berkenaan antara jam 4 pagi hingga 7 pagi, Ahad lalu.Menurutnya, hasil pemantauan di lokasi kejadian berhampiran jambatan jalan Bukit Rambai mendapati beberapa bahan kempen termasuk tiang bendera dipatahkan dan salah satu bendera dibakar."Susulan kejadian ini, Bersama mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menjalankan siasatan terperinci, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran."Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan perbuatan khianat ini bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam pada Isnin.Katanya, Bersama turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam PRN Melaka kali ini, khususnya parti-parti yang bertanding, supaya bersaing secara sihat dan matang serta menghormati lunas undang-undang demi memelihara keharmonian, keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung."Terdapat juga satu insiden kerosakan bahan kempen di Alor Gajah apabila bendera dicabut walaupun telah mendapat permit pemasangan, namun perkara itu diselesaikan secara baik selepas pihak yang melakukannya memasang semula bendera berkenaan."Bersama menegaskan bahawa tindakan sabotaj serta provokasi melampau tidak sepatutnya berlaku dalam amalan demokrasi, sebaliknya kempen perlu berlangsung secara aman dan berintegriti," katanya.