Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata kerajaan persekutuan turut memperkukuh pemantauan MA63 menerusi papan pemuka status pelaksanaan perjanjian itu. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Sebanyak 71.88% jawatan pengurusan dan profesional persekutuan di Sabah diisi anak tempatan, manakala kadar di Sarawak adalah 87.10%, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud.
Beliau berkata angka itu berdasarkan data Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga 12 Okt.
"Kerajaan persekutuan terus menyokong dasar Borneonisasi dengan memberi keutamaan kepada anak negeri Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat di negeri kelahiran masing-masing,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.







