PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan profesional yang merangkumi sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditetapkan (DNFBP) perlu memperkukuh usaha mengesan serta mencegah aktiviti mencurigakan bagi mengekang risiko pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar berkata, penyedia perkhidmatan profesional memainkan peranan penting sebagai barisan pertahanan awal dalam memastikan struktur korporat dan perkhidmatan perundangan tidak disalahgunakan oleh sindiket jenayah untuk menyembunyikan pemilikan serta sumber dana haram.

Katanya, pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan institusi kewangan tidak mampu menangani jenayah kewangan secara bersendirian tanpa kerjasama sektor profesional.