PETALING JAYA: Penjualan Boustead Plantations Berhad (BPlant) perlu menjadi langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), khususnya dalam mengurangkan beban hutang dan memastikan kepentingan pencarum terus terpelihara.
Proses pemilihan pembeli oleh lembaga pengarah LTAT ketika ini bukan sekadar berkisar kepada harga tawaran tertinggi, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan kewangan pembeli, kepastian pembayaran serta potensi pembangunan aset perladangan berkenaan selepas transaksi selesai.
Ini kerana hasil penjualan yang besar tidak semestinya membawa manfaat optimum sekiranya LTAT kehilangan sumber pendapatan berulang tanpa memperoleh penjimatan kos pembiayaan yang setimpal.






