ROMPIN: Demi kasih dan tanggungjawab sebagai anak, Aisyah Ishak, 27, dari Felda Keratong 6 di sini, sanggup menolak peluang kerjaya sebagai guru semata-mata untuk menjaga ibunya yang terlantar akibat strok.

Siswazah Sarjana Muda Pe­ngurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu pernah dipanggil menghadiri temuduga guru selepas melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Namun, remaja berkenaan memilih menutup pintu rezeki tersebut kerana mahu berbakti dan memberi sepenuh perhatian kepada wanita yang melahirkannya.

“Saya percaya rezeki boleh dicari tetapi kasih ibu tiada gantinya. Selagi hayat dikandung badan, saya mahu berada di sisi ibu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.