Putrajaya: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara diberi peluang mengemukakan secara terus permohonan penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan fizikal sekolah masing-masing kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun 2027.
Permohonan melalui saluran khas itu dibuka selama sebulan bermula 1 hingga 30 November ini bagi membolehkan PIBG menyenaraikan keperluan pembaikan prasarana sekolah masing-masing untuk dipertimbangkan kementerian.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan susulan pengumuman peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah dalam Belanjawan 2027 sebanyak RM2 bilion, iaitu peningkatan RM1 bilion berbanding peruntukan sebelumnya.
Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima pada 9 Oktober lalu turut mengumumkan peruntukan berkenaan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah di negara ini.










