LIVERPOOL – Penantian selama 14 tahun Arsenal untuk meraih kemenangan di Anfield berakhir selepas mereka mencatat kemenangan tipis 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi semalam.
Bagi pengendali The Gunners, Mikel Arteta ia merupakan detik yang cukup istimewa selepas kali terakhir pasukan itu mencatat kemenangan ketika beliau menjadi pemain pada September 2014.
Arteta menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang amat membanggakan buat seluruh warga kelab, lebih-lebih lagi selepas mereka tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) akibat kekalahan kepada Fleetwood Town empat hari sebelum pertemuan tersebut.
“Saya amat bangga kerana sudah 14 tahun kami tidak menang di sini dan itu tempoh yang sangat lama, malah saya yakin kemenangan ini membuatkan semua yang berkaitan dengan kelab berasa amat bangga bukan sahaja kerana keputusan, tetapi cara kami mencapainya serta semangat yang ditunjukkan,” katanya.









