LONDON: Arsenal menerima suntikan semangat menjelang pertembungan menentang Liverpool di Anfield, awal pagi esok apabila Declan Rice dan Riccardo Calafiori kembali menjalani latihan, sekali gus meningkatkan pilihan pemain buat pengendalinya, Mikel Arteta.
Kepulangan dua tonggak itu hadir tepat pada masanya ketika Arsenal memburu kemenangan penting dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), bagi meneruskan cabaran memburu kedudukan teratas liga.
Arteta mengesahkan Rice dan Calafiori sudah kembali menjalani latihan selepas terlepas aksi menentang Fleetwood susulan masalah kecederaan yang dialami ketika kemenangan ke atas Everton dalam saingan liga, hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, Arsenal masih belum dapat menggunakan khidmat Bukayo Saka yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan paha ketika berdepan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara pada 21 Oktober lalu.









