PETALING JAYA – Hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat di sekitar Shah Alam termasuk Kampung Melayu Subang petang semalam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir.

Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Jasonyew berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), purata hujan yang direkodkan petang semalam adalah sekitar 116.5 milimeter (mm).

Data taburan hujan di Kampung Melayu Subang petang semalam yang dikeluarkan JPS. Jelas beliau, jumlah tersebut adalah bersamaan purata hujan untuk tempoh dua hingga tiga hari.

“116.5mm dalam sehari! Biasanya jumlah hujan sekitar 116mm terkumpul dalam tempoh 2 hingga 3 hari. Tetapi kali ini semuanya direkodkan dalam sehari,” kongsinya.