KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,036 pesakit di negara ini sedang berdepan kegagalan organ setakat 15 Oktober lalu, sekali gus menuntut reformasi menyeluruh ekosistem pendermaan organ dan transplan bagi meningkatkan peluang mereka mendapatkan rawatan yang diperlukan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keperluan itu semakin mendesak memandangkan kadar pendermaan organ selepas kematian masih rendah, iaitu hanya 1.33 penderma bagi setiap sejuta penduduk.

Beliau berkata, penubuhan Majlis Transplan Kebangsaan (MTK) ialah langkah strategik untuk memperkukuh tadbir urus dan memacu agenda nasional pendermaan organ menerusi pendekatan seluruh kerajaan, sekali gus mengatasi kelemahan pelaksanaan secara silo atau berasingan antara agensi.