KUALA LUMPUR: Belum pun menyaksikan keseluruhan episod, penyanyi Shila Amzah sudah berasa geram dengan konflik dipaparkan dalam drama Suamiku Anak Mak sehingga mengakui tidak sabar untuk mengikuti kesudahan kisah berkenaan.

Menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, Shila meluahkan rasa tidak keruan selepas melihat beberapa sedutan babak drama yang kini hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.

"Tak cukup sabar utk tgk cerita 'anak mak' ni. Lalu-lalu snippets kat Threads pun dah boleh buat naik hormon cortisol," tulisnya.

Kenyataan spontan itu mencuri perhatian apabila menggambarkan betapa kuatnya kesan konflik drama berkenaan terhadap emosi penonton, meskipun hanya menyaksikan potongan babak yang tular di media sosial.