HANG TUAH JAYA – Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat segera dakwaan sogokan menerusi pengagihan bakul makanan sempena Deepavali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, SPR perlu menyelaras tindakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keterangan pihak terlibat serta bukti berkaitan diperiksa secara menyeluruh."Dakwaan ini mesti disiasat dengan pantas dan telus bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya."Siasatan perlu menentukan sama ada pengagihan tersebut mempunyai unsur mempengaruhi undi, dan tindakan tegas hendaklah diambil jika kesalahan dibuktikan," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Selasa.Sebelum ini, media melaporkan satu laporan polis terhadap calon BN DUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar atas dakwaan berkempen menggunakan premis dan jentera kerajaan.Laporan itu dibuat wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada Isnin.Dalam perkembangan lain, Adly turut menyokong tuntutan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membentangkan status terkini 55 projek pembangunan negeri yang dilaporkan masih belum dimulakan pada Jun 2025.Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, selepas hampir 17 bulan, rakyat berhak mengetahui jumlah projek yang sudah dimulakan, disiapkan atau masih tertangguh."Kerajaan negeri perlu menerbitkan senarai projek, lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana serta sasaran penyiapan."Kekangan teknikal, tanah kontraktor atau penyaluran dana hendaklah dijelaskan bersama tindakan penyelesaian dan jadual pelaksanaannya."Rakyat berhak tahu ke mana wang dibelanjakan, apa hasilnya dan bila kemudahan yang dijanjikan boleh digunakan," ujarnya.