Bekas menteri sumber manusia, M Saravanan berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM1.097 juta berkait kelulusan kuota pekerja asing.KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan beberapa tarikh antara Mac hingga Ogos tahun depan bagi perbicaraan bekas menteri sumber manusia, M Saravanan, yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM1.097 juta yang dikaitkan dengan kelulusan kuota pekerja asing.
Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus menetapkan 4 Mac, 12 April, 24 hingga 27 Mei, 17 hingga 19 Ogos serta 23 hingga 25 Ogos bagi perbicaraan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh berkenaan.
Pasukan pembelaan Saravanan sebelum ini memaklumkan bahawa mereka mahukan tarikh perbicaraan paling awal yang boleh ditetapkan.









