Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia merekodkan jumlah rampasan lebih RM2.65 bilion selain 872 tangkapan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan di seluruh negara bermula Januari hingga 31 Oktober lalu.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kejayaan itu dicatatkan hasil daripada 173,633 pemeriksaan dan 38,712 penggeledahan di perairan negara sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan dengan memberi penekanan kepada pendekatan operasi berasaskan maklumat risikan, analisis ancaman serta penilaian risiko.

"Pendekatan 'intelligence-led operations' ini membolehkan aset dan anggota digerakkan secara lebih bersasar dan berkesan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi," katanya pada sidang media sempena Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia 2026, di sini, hari ini.