SUNGAI PETANI – Seorang pekerja sebuah syarikat pembersihan maut akibat digilis lori mengutip sisa pukal yang dipandu rakan sekerjanya di Taman Kelisa Ria, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, mangsa, Mohamad Zaidi Ibrahim, 40, dari Semeling, dekat sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori bersama mangsa dan seorang lagi pekerja sedang mengutip sisa pepejal di kawasan perumahan itu.

“Selepas mengutip sampah, mangsa berdiri di bahagian pemijak besi di sisi lori sebelah kiri sebelum dia tergelincir dan terjatuh. Rakan mangsa yang berdiri di sebelah kanan kemudiannya menjerit sebelum pemandu melakukan brek kecemasan, namun mangsa ketika itu telah digilis tayar sebelah kiri dan mengalami kecederaan parah serta tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.