BANGKOK – Tindakan pantas polis berjaya menangkap seorang pencuri apabila suspek ditahan di luar pawagam Lido, Bangkok , hanya 35 minit selepas melarikan sebuah telefon pintar dari pusat beli-belah terkenal, MBK, lapor akhbar Thaiger.
Kejadian bermula apabila Balai Polis Pathum Wan menerima laporan kecurian pada pukul 11.30 malam (waktu tempatan), Ahad lalu.
Mangsa menyedari sebuah telefon pintar Apple iPhone 11 Pro miliknya bersama set pengecas hilang daripada beg galas ketika leka bermain di sebuah kedai permainan video di pusat beli-belah berkenaan.
Polis memaklumkan bahawa semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit merakam perlakuan suspek berpakaian serba hitam mengambil barang berharga milik mangsa sebelum beredar.








