KUALA LUMPUR: KLNET Akademi menerusi inisiatif Gerakan Memperkasa Skill dan Industri TVET Negara (GEMERSIT BUMI) mahu membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta keusahawanan berasaskan kemahiran, termasuk dalam industri emas dan perhiasan diri.
KLNET Akademi dalam satu kenyataan berkata, usaha itu digerakkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Persefahaman (LoU) bersama Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia (PGGPM) serta rakan strategik pelbagai sektor.
Kerjasama berkenaan bertujuan memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui penyelarasan usaha industri, institusi latihan, kerajaan dan masyarakat.
GEMERSIT BUMI memberi tumpuan kepada belia, pelajar sekolah menengah yang cenderung kepada bidang kemahiran, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, komuniti setempat, orang kurang upaya dan warga emas.






