Ayer Keroh: Insiden pintu gerbang di tapak Pesta Konvokesyen (PESKO) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-22 tumbang dan menimpa seorang pengunjung sehingga mengakibatkan kecederaan sudah diselesaikan.

Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UTeM dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden pada 31 Oktober lalu itu sudah diselesaikan sepenuhnya secara baik dan atas persetujuan bersama semua pihak terbabit.

Katanya, persetujuan berkenaan dicapai menerusi perbincangan semalam antara keluarga mangsa dan pihak syarikat pengendali acara pesta berkenaan.

"Pihak syarikat bersetuju memberikan pampasan kepada ibu bapa mangsa berdasarkan terma dipersetujui dan didokumenkan secara rasmi. UTeM turut menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa termasuk sumbangan kewangan," katanya.