PETALING JAYA: Dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membayar denda sebanyak RM50 juta hari ini bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah adalah tidak benar.

Perkara itu disahkan anak perempuan Najib, Nooryana Najib ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Nooryana, pihak keluarga tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan berhubung perkara itu termasuk berhubung pembayaran denda berkenaan oleh pihak peguam yang mewakili bapanya.

“Keluarga tidak menerima sebarang makluman rasmi daripada barisan peguam Najib berhubung dakwaan pembayaran tersebut,” katanya.