TAPAH: Risiko tanah runtuh, pokok tumbang dan laluan berliku menjadi antara cabaran utama kontraktor penyelenggaraan Jalan Tapah-Cameron Highlands atau Jalan Pahang di sini sepanjang 44 kilometer, khususnya ketika musim hujan.
Pengurus Salim Rimba Bara Construction, Raja Salim Abdul Rashid, 48, berkata, syarikat kontraktor itu bertanggungjawab menyelenggara laluan berkenaan sejak 2010 termasuk pembersihan segera apabila berlaku kejadian tanah runtuh atau pokok tumbang.
Menurutnya, kejadian tanah runtuh di Batu 22, Jalan Tapah-Cameron Highlands kelmarin yang menyebabkan laluan utama ke pusat peranginan itu terhalang merupakan antara insiden terbaharu yang memerlukan tindakan segera pihaknya.
Raja Salim berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, dia bersama pekerja terus ke lokasi untuk melakukan kerja pembersihan bagi memastikan laluan dapat dibuka semula dan kenderaan boleh meneruskan perjalanan.









