DI tengah-tengah hiruk-pikuk kota metropolitan, seni tradisional adakalanya tenggelam dek dominasi muzik moden dan arus hiburan semasa. Namun, pentas Rentak Budaya 2026 di Padang Merbok, Kuala Lumpur malam Jumaat lalu, membuktikan warisan tempatan masih utuh mendapat tempat di hati masyarakat.
Dianjurkan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), acara tersebut membawa misi lebih besar daripada sekadar menghimpunkan penghibur di atas pentas.
Rentak Budaya 2026 berusaha merapatkan jurang antara generasi, mempertemukan seni warisan dengan cita rasa kontemporari serta mengingatkan khalayak bahawa budaya tempatan tidak seharusnya tinggal sebagai nostalgia dalam lipatan sejarah.










