SAMBUTAN Deepavali yang diraikan masyarakat beragama Hindu setiap tahun bukan sahaja sinonim dengan cahaya lampu dan kemeriahan suasana, ia turut dihiasi pelbagai tradisi yang sarat dengan nilai budaya.

Antaranya ialah seni kolam atau rangoli yang lazimnya dihasilkan di hadapan rumah sebagai simbol menyambut tetamu serta membawa suasana ceria dan harmoni sempena perayaan berkenaan.

Bagi Mohd. Bakri Talib, minat terhadap keindahan seni menjadi titik permulaan menceburi dunia penghasilan rangoli sehingga aktiviti yang pada awalnya sekadar suka-suka kini berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan.

Katanya, keunikan corak serta gabungan warna yang menyerlah bukan sahaja mencantikkan hiasan, malah turut menarik minatnya untuk mencuba menghasilkan kolam sendiri.