PONTIAN – Demi mengejar impian berniaga dan meluangkan lebih masa bersama keluarga, seorang lelaki sanggup meninggalkan kerjaya tetap sebagai penolong pengurus dengan gaji RM5,000 sebulan untuk menjual pengat dan bubur tradisional.
Amirul Shafiq Suhaimi, 35, berkata, keputusan dibuat selepas lima tahun dia bertugas di sebuah syarikat logistik di Pasir Gudang sebelum mengusahakan perniagaan Minum Petang 3 Nenek bersama isteri, Ratna Zuzilianty Zulkifli, 34, Julai lalu.
“Ketika bekerja di Pasir Gudang, anak-anak saya tinggal bersama keluarga di Taman Damai, manakala isteri bekerja sebagai pegawai akaun di Pontian.
“Saya mahu berada lebih dekat dengan keluarga dan pada masa sama memberi tumpuan kepada perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui di Pontian Night Market (PNM), Lorong Cendol, di sini baru-baru ini.










