Polis tahan tujuh warga asing dan rampas dadah jenis MDMA serta ketamin bernilai RM1.08 juta dalam serbuan di dua premis di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah.

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan tujuh warga asing dan merampas dadah jenis serbuk disyaki methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) serta ketamin bernilai RM1.08 juta dalam serbuan di dua premis di Bukit Tengah di sini pada 1 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan menyerbu premis itu pada 12.50 tengah malam hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

“Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita, kesemuanya berusia antara 25 hingga 38 tahun… hasil pemeriksaan di kedua-dua premis menemukan dadah jenis serbuk disyaki MDMA dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM1.08 juta.