KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang mendakwa dikasari Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu, semalam.

Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad yang bertindak selaku plaintif, memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan mereka melalui firma guaman,Tetuan Kamal Hisham & Associates di Mahkamah Sesyen Sepang.

Mereka menamakan Mohd Shuhaily sebagai defendan tunggal dalam tuntutan saman berkenaan yang antaranya berhubung dakwaan penahanan salah, serangan dan fitnah.

Peguam, Kamal Hisham Ja'afar dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili kedua-dua plaintif berkata, tindakan itu diambil kerana kejadian didakwa membabitkan perbuatan Mohd Shuhaily atas kapasiti peribadinya sendiri, tanpa membabitkan kerajaan Malaysia.