Kuala Lumpur: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mencabar tiga pertuduhan berkaitan pelupusan aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM860.3 juta yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini.

Peguam Datuk Hamidi Mohd Noh yang mewakili Jamil Khir, 65, memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan memfailkan beberapa permohonan berhubung pertuduhan dalam kes itu, termasuk mencabar pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

"Kami akan memfailkan beberapa permohonan termasuk berkaitan pasport selepas meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan," katanya pada prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Rosli Ahmad, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memberitahu mahkamah pihaknya sudah menyerahkan satu jilid dokumen kepada pembelaan, dan memerlukan masa untuk menyerahkan baki dokumen termasuk dokumen perbankan.