Ketua Polis Semporna Tan Hiap Wah gesa pengusaha pelancongan agar utamakan aspek keselamatan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pelancong China maut selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti selam snorkel bersama ahli keluarganya di perairan Pulau Pom Pom, Semporna, semalam.

Ketua Polis Semporna Tan Hiap Wah berkata, dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu, wanita berusia 66 tahun dari Yunnan itu mengadu tidak selesa sebelum meminta untuk menaiki bot.

“Ketika berada di atas bot, mangsa tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan namun tiada tindak balas sebelum dibawa ke Hospital Semporna," katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Tan berkata, mangsa yang didapati mempunyai sejarah penyakit asma sejak 10 tahun lepas disahkan meninggal dunia di hospital.