SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika aktiviti selam snorkel bersama keluarganya di perairan Pulau Pom Pom di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 66 tahun dari Yunan dilaporkan mengadu tidak selesa sebelum meminta dibawa naik ke atas bot.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah, berkata sebaik berada di atas bot, mangsa tidak sedarkan diri

"Usaha memberikan bantuan pernafasan (CPR) tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Mangsa dibawa ke Hospital Semporna," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hiap Wah berkata, pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa yang mempunyai sejarah penyakit asma sejak 10 tahun lalu, meninggal dunia.