KUALA LUMPUR: Bukan sekadar mengejar catatan masa, pengalaman pelari menjadi antara fokus utama ASICS Malaysia pada Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 yang menghimpunkan 40,000 peserta dari 70 negara.
Pengurus ASICS Malaysia, Boon Tib Soon Nik berkata, pihaknya mahu mencipta pengalaman lebih besar buat pelari yang hadir dengan sasaran berbeza pada temasya larian berkenaan.
"Setiap pelari hadir ke KLSCM dengan sasaran berbeza, tetapi pada hari perlumbaan, kami berkongsi jalan dan semangat yang sama untuk terus bergerak ke hadapan. Tahun ini, kami mahu mencipta pengalaman yang lebih besar sepanjang perjalanan itu," katanya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, ASICS House yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober menjadi ruang khas buat ahli OneASICS dan tetamu jemputan untuk berehat, berhubung serta meraikan pengalaman perlumbaan.






