BACHOK: Lebih 200 ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan kenalan mengiringi pengebumian salah seorang mangsa kemalangan tiga kenderaan di Gerik, Perak, malam ini.

Jenazah Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19 selamat dikebumikan jam 10.45 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Jawa, Budi di sini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di rumahnya sebelum jenazah diusung penduduk kampung dan rakan kenalan dengan berjalan kaki daripada rumahnya ke tanah perkuburan kira-kira 200 meter.

Bapa mangsa, Nik Hairey Nik Rahim, 42 berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah anak pada malam sebelum anaknya bertolak ke Gerik, Perak pada jam 4.00 pagi Ahad lalu.

Katanya, Hafiz memaklumkan mahu ke Gerik bersama rakan sebelum dikejutkan dengan berita kemalangan yang meragut nyawa anak sulungnya itu.