PARIS: Kementerian Luar Perancis semalam mengumumkan lokasi Mesyuarat Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) akan dipindahkan dari Marseille ke Paris atas alasan logistik, dalam satu perubahan luar biasa yang dibuat pada saat akhir, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menteri luar negara-negara anggota G7, iaitu kumpulan tujuh negara perindustrian utama dunia, dijadual mengadakan pertemuan pada Isnin dan Selasa depan bagi membincangkan keselamatan maritim serta pelabuhan, selain konflik di Asia Barat dan Ukraine.

Kementerian Luar Perancis berkata, lokasi mesyuarat turut diubah susulan Forum Keamanan Paris akan berlangsung sejurus selepas mesyuarat menteri luar itu, iaitu pada Rabu dan Khamis depan.

"Pemilihan Paris memastikan kelancaran penganjuran kedua-dua acara antarabangsa ini," menurut kementerian itu.