GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan ancaman spesies akuatik asing invasif yang semakin menular di sungai, tasik, empangan dan perairan pantai negara akibat tindakan manusia melepaskan haiwan serta tumbuhan eksotik secara tidak bertanggungjawab.

Penyebaran spesies berkenaan bukan sahaja mengancam kelangsungan spesies tempatan, malah berpotensi mengganggu keseimbangan ekosistem semula jadi dan menjejaskan sumber pendapatan komuniti yang bergantung kepada sektor perikanan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata antara spesies tumbuhan invasif dikenal pasti ialah keladi bunting atau bunga kiambang yang popular sebagai tanaman hiasan dalam akuarium dan kolam.

Katanya, tumbuhan berasal dari Lembangan Amazon di Amerika Selatan itu mampu membiak dengan pantas apabila dilepas ke persekitaran semula jadi sehingga menyumbat laluan air dan mencetuskan pelbagai masalah alam sekitar.