TUMPAT: Dalam usia menjangkau 96 tahun, Wan Mamat Wan Isa masih berupaya berjalan ke sana sini dengan penglihatan yang baik meskipun rata-rata rakan seusianya sudah dijemput Ilahi.
Menariknya lagi, pesara guru itu juga tidak mempunyai penyakit dan hanya deria pendengaran sahaja yang sedikit diuji, namun ingatannya tetap segar ketika diminta bercerita mengenai kehidupannya pada zaman dahulu.
Wan Mamat berkata, tiada amalan khusus dilakukannya kecuali mengaji al-Quran serta menunaikan solat sunat Dhuha setiap hari dan amalan itu sudah dilakukan sejak sekian lama.
"Alhamdulillah, saya masih lagi diberi kesihatan yang baik untuk menjalani kehidupan di saat semua rakan seusia sudah tiada. Tiada amalan lain dibuat hanyalah baca al-Quran dan amalkan solat sunat Dhuha setiap hari, itu sahaja amalan saya," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Pekan.








