PERSEKUTUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyarankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengkaji semula Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), khususnya kadar insentif bagi atlet yang beraksi dalam acara berpasukan.

Presidennya, Datuk Sumali Reduan berkata, semakan itu perlu dilakukan bagi merapatkan jurang imbuhan antara atlet acara individu yang menerima RM80,000 bagi pingat emas Sukan Asia berbanding RM15,000 untuk setiap pemain dalam acara berpasukan.

Katanya, luahan tekong utama negara, Syahir Rosdi yang terkilan dengan jumlah insentif diterima selepas membantu Malaysia meraih emas regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 perlu diberi perhatian serius.