PETALING JAYA: Pemain Harimau Malaya perlu mengutamakan maruah negara setiap kali menyarung jersi kebangsaan, bukannya dibayangi tekanan untuk memenuhi tuntutan keputusan sehingga menjejaskan persembahan di atas padang.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, setiap pemain yang mewakili negara membawa tanggungjawab besar kerana mereka mempertahankan panji-panji Malaysia di pentas antarabangsa.
“Ini yang saya selalu katakan, bermain untuk negara dan bukan bermain untuk sesiapa. Apabila kita turun padang, kita membawa panji-panji negara. Jangan apabila kita bermain, orang boleh memperkotak-katikkan kita.
“Bermainlah dengan bagus dan sebaik mungkin. Keputusan itu perkara lain, tetapi apabila kita menunjukkan prestasi yang baik walaupun tidak berjaya, orang akan menghormati kita,” katanya kepada media.








